ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan Puncak Alam menghala ke Kampung Budiman, hari ini. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan empat kenderaan di jalan Puncak Alam menghala ke Kampung Budiman, hari ini. FOTO ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Wanita warga emas maut manakala suaminya parah sejurus kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Jalan Puncak Alam berhampiran Kampung Budiman, di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max, lori tiga tan, kereta Proton Persona dan kereta Proton Savvy.

"Isuzu D-Max dinaiki tiga lelaki manakala lori tiga tan dan Proton Persona masing-masing dipandu seorang lelaki.

"Sementara kereta Proton Savvy pula dinaiki pasangan suami isteri," katanya semalam.

Morni berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila pacuan empat roda Isuzu D-Max yang dalam perjalanan ke Puncak Alam melanggar bahagian belakang lori tiga tan sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Kenderaan pacuan empat roda itu kemudian bertembung dengan kereta Proton Persona dan Proton Savvy.

"Pemandu Proton Savvy iaitu Abdul Rashid Md Nor, 74, tersepit dan berjaya dikeluarkan anggota bomba.

"Manakala penumpang kereta yang juga isterinya, Aliah Jaafar, 67, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.

Menurut Morni, pemandu dan penumpang kenderaan lain hanya cedera ringan.

"Pemandu kereta Proton Persona yang dikenali sebagai Darussalam, 45, cedera ringan. Pemandu Isuzu D-Max, Johan Arif Md Azami, 26, juga cedera ringan dan dibawa ke klinik berhampiran.

"Pemandu lori tiga tan pula didapati pergi ke balai polis sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 2:43 PM