Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zaid Salim

DIJANGKA 450,000 kenderaan berada di atas jalan raya di negeri ini setiap hari sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.

Sehubungan itu polis negeri akan meningkatkan pemantauan dan rondaan secara berkala bagi memastikan aliran trafik sepanjang lancar.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, bagi melancarkan operasi lalu lintas, seramai 800 anggota dan pegawai akan bekerja sepanjang musim perayaan ini.

“Hanya 10 peratus daripada pegawai dan anggota polis kontinjen Terengganu bercuti pada hari raya tahun ini,” katanya selepas Program Singgah Sahur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hari ini.

Program bermula 12 tengah malam hingga 4 pagi itu turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abd Majid; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos; Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din dan Ketua Polis Marang, Deputi Superiintendan Mohd Suhaimi Ali.

Lebih 200 pek makanan sahur diagihkan kepada anggota bahagian jenayah dan trafik serta pegawai yang bertugas malam termasuk anggota di lapan balai termasuk tiga di bawah pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Mengulas lanjut, Aidi berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampung memandu dengan selamat.

“Kadar kemalangan jalan raya meningkat pada musim perayaan dan sebilangan besar adalah disebabkan kecuaian pemandu sama ada memandu tanpa mengikut peraturan atau mengantuk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2019 @ 4:54 PM