FAIL HM Digital
FAIL HM Digital
Zaid Salim


POLIS Terengganu melakukan 28 rampasan mercun membabitkan nilai keseluruhan RM65,300 dalam operasi sepanjang Ramadan, bermula 27 Mei hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata Kuala Terengganu mendahului daerah lain dengan 10 rampasan membabitkan nilai RM33,900 diikuti Marang lapan rampasan (RM10,200) dan Besut satu rampasan membabitkan nilai RM10,000.

"Dungun tiga rampasan RM5,000, diikuti Kemaman, empat rampasan (RM3,300) dan Hulu Terengganu membabitkan dua rampasan dengan nilai RM2,900.

"Sebilangan besar rampasan dibuat di stor dan tempat penyimpanan menerusi maklumat awam dan risikan polis," katanya pada Program Jom Ronda SRS/KRT Kawasan DUN Batu Rakit dan Sahur bersama PDRM Terengganu di Batu Rakit, di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit Bazlan Abd Rahman dan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Abdul Rahman Mat Yasin.

Aidi berkata, pihaknya turut membuat tangkapan terhadap 22 pengedar mercun berusia antara 24 hingga 35 tahun.

"Daripada jumlah itu, lapan membabitkan tangkapan di Marang, Kuala Terengganu (tujuh), Dungun (tiga), Kemaman (dua) dan masing-masing seorang di Besut dan Hulu Terengganu," katanya.

Beliau berkata, semua ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara atau kedua-dua sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 9:34 PM