AZIRA bersama ahli keluarganya di Norway.
AZIRA bersama ahli keluarganya di Norway.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Berpuasa sehingga 20 jam lamanya pada Ramadan 2012 antara kenangan yang sukar dilupakan seorang rakyat Malaysia di Oslo, Norway, Azira Aziz, 40.

Apatah lagi ketika itu, dia sekeluarga baharu berpindah ke negara berkenaan kerana mengikut suaminya, Faizul Akmal Rodi, 44, yang mendapat tawaran kerja di sana.

Kata Azira, dia dan keluarga juga keliru mengenai waktu berbuka kerana masjid yang ada di negara berkenaan mempunyai fahaman mazhab berlainan.

"Ada masjid berbuka puasa awal dan ada yang berbuka lewat sedikit, jadi kami agak keliru.

"Kami perlu bersahur lebih awal dan menunggu untuk berbuka puasa sehingga jam 10.45 malam.

"Ketika itu, sempat merasa juga pengalaman berpuasa di bulan Ramadan dengan suasana matahari masih cerah terik walaupun jam sudah menunjukkan 12 tengah malam," katanya.

Menurut Azira, selepas itu pada tahun berikutnya iaitu 2013 hingga 2020, masyarakat Islam di Norway turut menjalani ibadah puasa selama 20 jam lamanya.

Akui Azira, pada mulanya terasa agak mencabar berpuasa dalam tempoh selama itu lebih-lebih lagi negara berkenaan sedang mengalami musim panas ketika itu. Namun lama-kelamaan alah bisa tegal biasa.

Kata Azira, penduduk Islam di sana juga diberikan rukhsah kepada sesiapa yang tidak mampu.

"Kami dibenarkan untuk mengikut Mekah iaitu berpuasa kurang sedikit sekitar 17 jam sahaja.

"Namun bagi sesiapa yang mampu, mereka akan teruskan tempoh 20 jam berkenaan," katanya.

AZIRA akan memasak sendiri jika rindu masakan Malaysia.
AZIRA akan memasak sendiri jika rindu masakan Malaysia.

Azira berkata, Ramadan kali ini penduduk Islam di Oslo berpuasa 14 jam, lebih pendek iaitu dari jam 4.41 pagi hingga 6.14 petang kerana masih dalam musim sejuk.

Namun pada hari akhir Ramadan, 9 April kelak mereka perlu berpuasa 17 jam iaitu dari jam 3.49 pagi hingga 8.25 malam.

Katanya, tidak seperti di Malaysia yang meriah dengan bazar Ramadan, dia sekeluarga biasanya memasak sendiri hidangan untuk berbuka.

"Diam tak diam, sudah 11 tahun kami sekeluarga di bumi Norway, tipulah kalau kata tidak rindu kepada suasana Ramadan di tanah air.

"Saya rindukan peluang berbuka puasa, bertarawih dan moreh di masjid, mengunjungi bazar Ramadan dan sebagainya kerana pelbagai juadah enak boleh dibeli sepanjang bulan puasa ini.

"Sedapnya apabila mengenangkan keenakan makanan kegemaran seisi keluarga iaitu taufu fa, kuih cucur badak, martabak dan roti john, tapi di sini semua makanan itu susah didapati melainkan masak sendiri," katanya yang kali terakhir mengunjung bazar Ramadan pada tahun 2015 ketika pulang bercuti di Malaysia.

KALI terakhir kunjungi bazar Ramadan pada 2015.
KALI terakhir kunjungi bazar Ramadan pada 2015.

Kata Azira lagi, tahun ini, seperti tahun sebelumnya mereka sekeluarga juga akan menyambut Aidilfitri di bumi Norway.

Katanya, bukan sengaja tidak mahu pulang beraya di tanah air, tetapi dua anak masih bersekolah.

"Agak sukar untuk bercuti, melainkan raya jatuh pada musim panas iaitu pada Julai atau Ogos jadi, kami suami isteri serta dua anak, Nur Fazera, 13 dan Nur Firzanah, 10, akan beraya bersama komuniti Islam di sini.

"Seronok juga kerana apabila ramai perantau yang tidak pulang beraya berkumpul, meriah juga jadinya.

"Apapun, di kesempatan yang ada ini saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Berpuasa dan Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin kepada keluarga mentua, abang serta kembar saya di Kedah dengan ucapan, makan ketupat rendang tu, ingat-ingatlah kami di Norway," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 7:10 AM