PENDUDUK Orang Asli patuh dengan PKP. FOTO NUR AMALINA ISMAIL
PENDUDUK Orang Asli patuh dengan PKP. FOTO NUR AMALINA ISMAIL
Siti Rohana Idris


LEBIH 300 masyarakat Orang Asli di Kampung Pelug, Gua Musang turut terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Kesukaran dihadapi mereka apabila terpaksa bergantung sepenuhnya kepada sumber hutan dan tanaman yang ditanam sekitar rumah sebagai makanan bagi menggantikan beras serta lauk yang sebelum ini dibeli di kedai.

Wakil penduduk, Yaacob Busu, 56, berkata selain patuh dengan PKP, suku kaum Temiar itu juga takut untuk keluar dari kediaman masing-masing kerana bimbang terdedah kepada wabak Covid-19.

Yaacob berkata sejak sekatan bermula di Pos Hendrop, orang luar termasuk peraih getah sudah tidak dibenarkan memasuki perkampungan Orang Asli lagi.

“Selain mencari hasil hutan, penduduk juga ramai yang bekerja sebagai menoreh getah dan dalam tempoh PKP ini masih ada yang keluar menoreh.

“Yang menjadi masalahnya adalah getah tidak boleh dijual kerana peraih tidak masuk ke kawasan perkampungan disebabkan PKP dan ia menjejaskan pendapatan kami.

“Disebabkan itu kami terputus bekalan beras dan lauk pauk lain termasuk makanan sampingan kerana selain takut untuk keluar membeli, segelintir penduduk juga tiada wang,” katanya ketika dihubungi.

Dia berkata penduduk kampung terpaksa mencatu beras yang masih ada dan makan makanan segera untuk mengalas perut.

Katanya lagi ada juga yang hanya memasak sayur sahaja yang dikutip sekitar rumah dan dimakan bersama nasi bagi menggantikan lauk.

“Kami terpaksa mencatu beras dan bergilir makan dengan mi segera atau hanya makan sayur yang dipetik di tepi rumah bersama ikan bilis.

“Kami sangat berharap wabak penyakit ini segera berakhir supaya rakyat dapat kembali menjalani hidup seperti biasa dan tidak dalam ketakutan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 4:19 PM