ANGGOTA APM Langkawi ketika menjalani latihan menyelamat di air di Pulau Payar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM Langkawi ketika menjalani latihan menyelamat di air di Pulau Payar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


KEJADIAN kebakaran membabitkan feri penumpang yang berlaku Februari lalu menyuntik semangat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi melakukan latihan sebagai persediaan sekiranya kejadian tidak diingini itu berlaku lagi.

Dalam kejadian 2.30 petang 25 Februari lalu, seramai 52 penumpang dan enam kru feri penumpang yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis itu diselamatkan agensi penyelamat.

Berikutan itu, sebagai langkah persediaan, seramai 10 anggota termasuk lelaki dan wanita gigih menjalani latihan penyelamat di laut yang diadakan di Pulau Payar, di Langkawi.

Latihan itu bertujuan untuk memastikan anggota terbabit lebih bersedia menghadapi saat kecemasan sekiranya kejadian seperti itu berulang selain memberi keyakinan kepada anggotanya ketika berada dalam air.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi, Leftenan (PA) Azamsah Apearel berkata, latihan itu juga untuk memastikan setiap anggota tidak kira lelaki atau wanita memahami apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan di laut.

Beliau berkata, mereka turut diajar bagaimana cara untuk yakin dalam membantu menyelamatkan mangsa.

“Menjelang musim perayaan ini, ramai yang akan datang ke pulau ini dan kami melakukan persediaan latihan ini supaya mereka dapat mempelajari teknik dan cara melepaskan diri ketika feri atau bot terbakar selain membantu menyelamatkan penumpang.

“Selain itu, pelancong tempatan dan asing ramai yang akan datang untuk berkelah, mandi di pantai bersama keluarga dan perlu mengikut arahan anggota menara penyelamat pantai yang diletakkan di kawasan itu, ” katanya ketika ditemui di sini.

Azamsah berkata, APM turut menempatkan anggota di empat menara penyelamat pantai termasuk di Pantai Cenang, Pantai Tengah, Pulau Payar dan berhampiran Hotel Pelangi untuk memastikan keselamatan pelancong terjaga.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang akan menubuhkan Unit Skuba APM Langkawi untuk ditempatkan di kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya, setakat ini anggotanya hanya mempunyai kemahiran asas menyelamat dan beliau akan cuba memberi latihan yang secukupnya supaya mereka mahir menyelam untuk memudahkan operasi menyelamat dilakukan dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 12:53 PM