Anggota APM menasihati pengunjung supaya menghentikan aktiviti di Pantai Chenang, Langkawi berikutan ombak besar. Foto Ihsan APM
Anggota APM menasihati pengunjung supaya menghentikan aktiviti di Pantai Chenang, Langkawi berikutan ombak besar. Foto Ihsan APM
Hamzah Osman


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi mengeluarkan arahan agar semua aktiviti riadah di kawasan pantai sekitar pulau ini dihentikan berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan selepas keadaan laut bergelora dengan ombak mencecah setinggi tiga meter berikutan hujan dan ribut tidak menentu sejak malam tadi.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan APM Langkawi Leftenan (PA) Azamshah Apearal berkata, seramai 24 pegawai dan anggota APM kini bersedia menghadapi sebarang bencana.

“Arahan tegas ini perlu dikeluarkan kerana pengunjung pantai masih berdegil melakukan aktiviti pantai, khususnya mandi manda walaupun bendera merah sudah dinaikkan.

“Kami memberi tumpuan mengawasi keadaan di Pantai Tengah, Chenang dan Pelangi, selain turut memantau situasi di Pulau Payar yang menjadi tumpuan pelancong.

“Inisiatif ini diambil bagi mengelak tragedi buruk menimpa pengunjung yang teruja untuk mandi walaupun keadaan laut tidak sesuai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azamshah berkata, sebagai langkah proaktif, anggota APM bertindak menghampiri dan menasihati pengunjung yang masih berdegil mandi-manda di pantai.

“Kita bimbang fenomena kepala air dan kita tidak mahu ada yang kehilangan nyawa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 8:42 PM