LELAKI yang dikenali sebagai Yamcik diburu polis. FOTO Ihsan Polis
LELAKI yang dikenali sebagai Yamcik diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Hasbi Sidek


SEORANG lelaki dan seorang wanita ditahan selepas didapati menjadi orang tengah menjual barangan hasil curi, selain turut memiliki barang curi dalam dua serbuan berbeza, Isnin lalu.

Kedua-dua individu itu ditahan sepasukan polis yang membuat serbuan di tapak pembinaan di Petaling dan rumah di Taman Mawar, Puchong, Selangor, antara 2 petang dan 5 petang.

Difahamkan, suspek wanita itu ditahan kerana membeli barangan curi daripada lelaki yang dikenali sebagai ‘Yamcik’, manakala suspek lelaki pula didapati menjadi orang tengah menjual barangan curi penjenayah itu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, sebelum penahanan itu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ragut membabitkan seorang wanita berusia 50-an pada 22 Februari lalu.

Katanya, dalam kejadian 12.20 tengah malam itu, mangsa dikatakan sedang menunggu pemandu Grab menjemputnya di tepi jalan dekat Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Jalan Sultan Hishamuddin sebelum dihampiri motosikal ditunggang seorang lelaki dari arah belakang.

“Lelaki (dipercayai individu yang dikenali sebagai ‘Yamcik’) itu kemudian meragut telefon bimbit milik mangsa dari tangannya.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, kami membuat dua serbuan di lokasi berkenaan yang membawa kepada penahanan dua individu berusia lingkungan 16 tahun hingga 30-an itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

TELEFON bimbit dipercayai hasil curi yang dirampas daripada dua suspek disyaki dibeli daripada ‘Yamcik’ FOTO Ihsan Polis
TELEFON bimbit dipercayai hasil curi yang dirampas daripada dua suspek disyaki dibeli daripada ‘Yamcik’ FOTO Ihsan Polis

Rudy berkata, dalam serbuan pertama di rumah di Taman Mawar, Puchong, pihaknya menemui dua telefon bimbit hasil pemeriksaan dilakukan terhadap wanita berkenaan.

Katanya, bagi serbuan kedua di tapak pembinaan di kawasan Petaling, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap lelaki yang kemudian menyerahkan satu telefon bimbit dipercayai barang curi kes ragut sebelum ini.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit mengaku membeli telefon bimbit yang dirampas daripada seorang lelaki dikenali dengan panggilan ‘Yamcik’ dengan harga RM400 beberapa bulan lalu.

“Seorang lagi suspek lelaki mengaku menjadi penjual telefon diberikan ‘Yamcik’ dan pernah mengambil serta menjual kira-kira 10 telefon bimbit pelbagai jenama dengan hasil jualan itu akan dikongsi bersama ‘Yamcik’ tanpa mengetahui dari mana barangan itu diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula 30 April lalu sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Kami sedang giat memburu suspek yang dikenali sebagai ‘Yamcik’ untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek terbabit diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 11:53 PM