SEBAHAGIAN daripada barangan yang di curi oleh Warga Peru di Putrajaya dan Kuala Lumpur ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah Putrajaya. FOTO Ihsan PDRM
SEBAHAGIAN daripada barangan yang di curi oleh Warga Peru di Putrajaya dan Kuala Lumpur ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Dearah Putrajaya. FOTO Ihsan PDRM
Siti A’isyah Sukaimi


TIGA suspek warga Peru termasuk seorang wanita dikenali sebagai Geng Latin Putra ditahan pada 11 dan 15 Disember lalu di dua tempat berasingan, susulan kegiatan mencuri barangan milik pelancong asing.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima laporan pada 4 Disember lalu daripada seorang wanita warga China berusia 51 tahun yang mendakwa ternampak seorang lelaki mengambil begnya dan melarikan diri.

“Mangsa mendakwa, pada 3.15 petang semasa berada di hadapan Masjid Putra, dia sedang mengambil gambar di kawasan sekitar serta meletakkan beg galas di atas lantai berhampirannya.

“Selesai mengambil gambar, mangsa mahu mengambil beg dan ternampak seorang lelaki mengambil begnya serta melarikan diri. Mangsa mengejar lelaki itu tetapi gagal mendapatkannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di dalam beg berkenaan, ia mengandung dokumen penting milik mangsa, pelbagai barang kemas, wang tunai, dua jenis telefon bimbit dengan anggaran kerugian berjumlah kira-kira RM20,000.

Katanya, susulan itu, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menahan seorang lelaki warga Peru berusia 35 tahun dan wanita berusia 41 tahun di Brickfields, Kuala Lumpur pada 9.30 malam, 11 Disember lalu.

“Semasa tangkapan dibuat, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios dan hasil semakan mendapati ia kereta sewa yang digunakan untuk melakukan jenayah.

“Turut dirampas ialah baju yang digunakan oleh suspek semasa kejadian berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rosly berkata, tangkapan seterusnya pula membabitkan seorang suspek lelaki warga Peru yang ditahan 2.30 pagi, 15 Disember lalu dalam serbuan di pangsapuri di Puchong.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis berjaya merampas sejumlah barang kes dipercayai hasil kegiatan curi yang dilakukan terhadap pelancong asing bernilai kira-kira RM80,000.

Beliau berkata, antara barangan dirampas ialah wang tunai, barangan kemas, beg tangan wanita, beg duit, kasut, jam tangan, telefon bimbit, kamera membabitkan pelbagai jenama.

Mengulas lanjut, Rosly berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di lokap bagi membantu siasatan dan terbabit dalam jenayah curi membabitkan pelancong asing di Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Maklumat pada pasport ketiga-tiga suspek didapati dicop tarikh masuk 19 November, namun semakan melalui Jabatan Imigresen mendapati cop masuk itu tidak sah (tidak tulen).

“Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek, setakat ini sebanyak 15 kes dapat diselesaikan di Putrajaya dan empat kes di Dang Wangi yang mana mangsa kebanyakannya pelancong warga China,” katanya.

Berikutan itu, Rosly berkata, pertuduhan ketiga-tiga suspek akan dibuat pada 26 Disember ini iaitu suspek pertama akan dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah.

Suspek kedua pula akan dituduh mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah manakala, suspek ketiga akan dituduh di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberikan keterangan memuaskan kepada pihak polis terhadap barang yang dirampas dan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen diri yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 1:33 PM