KAMBING biri-biri yang diberi makanan jenis foraj.
KAMBING biri-biri yang diberi makanan jenis foraj.
Hafiz Ithnin


HANYA disebabkan gemar menikmati hidangan berasaskan daging kambing, lelaki berusia 37 tahun ini tidak menyangka akhirnya bergelar penternak daging secara serius pada hari ini.

Bagi pemilik nama Mohd Fairul Jamari, menjadi penternak kambing bukan sesuatu perkara mudah kerana ia memerlukan ilmu pengetahuan supaya segala usaha yang dilakukan tidak sia-sia.

Jelasnya, selama setahun sebelum mengambil langkah pertama membeli induk kambing biri-biri pada 2019, dia menyertai pelbagai kursus penternakan di seluruh negara.

"Saya gemar menu yang berasaskan daging kambing seperti kambing perap. Jadi, lama-kelamaan saya terfikir mengapa tidak menternak sendiri haiwan ini.

"Tambahan pula, permintaan kambing di Malaysia sentiasa ada terutama bagi majlis akikah atau sambutan perayaan. Sehinggakan baru-baru ini saya terpaksa menolak tempahan kerana bekalan tidak mencukupi," katanya.

Mohd Fairul berkata, pada awalnya dia hanya memiliki kira-kira enam kambing biri-biri. Seekor jantan dan selebihnya adalah betina untuk dijadikan induk. Dalam tempoh kira-kira lapan bulan, haiwan berkenaan sudah matang untuk membiak.

KAMBING biri-biri lebih cepat matang.
KAMBING biri-biri lebih cepat matang.

"Berbanding kambing tempatan biasa, tempoh matang kira-kira setahun baru boleh membiak. Jadi bagi saya, membiak kambing biri-biri lebih mudah berbanding kambing biasa.

"Dari segi kelahiran pula, kambing biri-biri boleh melahirkan seekor hingga tiga ekor anak. Namun, ia tidak semudah yang disangka kerana sebagai penternak kita perlu tahu mengenai keperluan haiwan berkenaan bagi mengurangkan kadar kematian ketika kelahiran," katanya.

Mohd Fairul berkata, dia pernah mengalami kematian anak kambing biri-biri kerana haiwan berkenaan biasanya melahirkan anak pada sebelah malam. Jika si ibu tidak pandai mengendalikan anak yang baharu lahir, keadaan itu boleh menyebabkan risiko kematian.

"Selain itu, cabaran yang perlu saya hadapi pastinya mengenai diet haiwan ini kerana makanan adalah elemen yang paling penting bagi memastikan kambing biri-biri tidak mengalami masalah kesihatan dan mati.

KAMBING biri-biri induk melahirkan anak.
KAMBING biri-biri induk melahirkan anak.

"Jadi, apabila mengikuti kursus penternakan saya dapat mengetahui simptom masalah kesihatan kambing biri-biri seperti kembung. Mungkin, kalau manusia kembung adalah penyakit yang ringan.

"Ia tidak kepada kambing kerana boleh menyebabkan kematian jika tidak diubati dengan segera. Saya pernah berdepan kematian kambing biri-biri kerana masalah kembung perut," katanya.

Menjelaskan mengenai diet haiwan berkenaan katanya, kambing biri-biri ternakannya makan 10 peratus dedak dan foraj sebanyak 90 peratus. Kambing biri-biri memerlukan makanan sepuluh peratus daripada berat badannya.

Ketika ini, Mohd Fairul mempunyai 25 kambing biri-biri yang diternak dalam kandang dan berhasrat untuk mempunyai lebih banyak haiwan ternakan itu pada masa depan.

MEMANTAU kelahiran induk penting bagi mengurangkan risiko kematian anak kambing biri-biri.
MEMANTAU kelahiran induk penting bagi mengurangkan risiko kematian anak kambing biri-biri.

"Buat masa ini, saya mengusahakan ternakan secara separuh masa memandangkan saya masih mempunyai pekerjaan tetap. Menyertai penternakan kambing ini sesuatu yang boleh memberi pendapatan tambahan.

"Namun, ia tidak mudah kerana banyak yang perlu difahami dari segi penjagaan. Bagi saya perkara paling penting ialah minat dan mencari ilmu dalam bidang ini," katanya mengakhiri perbualan.

KAMBING golek antara menu yang popular mendapat permintaan.
KAMBING golek antara menu yang popular mendapat permintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 6:20 AM