MOHD Zaidi Ramli pada sidang media selepas Kempen Cakna Halal di Seremban. FOTO Adzlan Sidek
MOHD Zaidi Ramli pada sidang media selepas Kempen Cakna Halal di Seremban. FOTO Adzlan Sidek
BERNAMA

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mendedahkan 149 daripada 150 restoran nasi kandar di Negeri Sembilan tidak memiliki sijil halal.

Pengarahnya, Mohd Zaidi Ramli berkata, satu-satunya restoran nasi kandar yang dianugerahkan pensijilan halal terletak di Seremban.

“Satu lagi premis sudah memohon pensijilan halal dan masih menunggu kelulusan,” katanya selepas program 'Halal Cakna' di Seremban, hari ini, yang turut dihadiri Mufti negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemilik premis makanan, termasuk hidangan masakan Melayu untuk mengemukakan permohonan pensijilan halal supaya tidak menimbulkan keraguan kepada orang Islam terhadap makanan dihidangkan.

Dalam tempoh tiga bulan lalu, JHEAINS menerima lima aduan mengenai keraguan mengenai sijil halal yang dipaparkan di premis tertentu di negeri ini.

“Dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain, kami akan memastikan kedai makanan di negeri ini mendapat sijil halal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 10:01 PM