Ariff Ridzuan menggunakan kerangka badan motosikal kapcai Honda Cub 70 berusia 30 tahun milik bapanya yang kemudian diubah suai dengan tambahan aksesori.
Ariff Ridzuan menggunakan kerangka badan motosikal kapcai Honda Cub 70 berusia 30 tahun milik bapanya yang kemudian diubah suai dengan tambahan aksesori.
Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Bera: Jika di Amerika Syarikat, Paul Teutal dan anaknya, Paul Jr terkenal kerana bakat mereka mengubah suai motosikal menerusi rancangan ‘American Chopper’ di Malaysia tidak kurang hebat dengan adanya pemuda berbakat besar berusia 24 tahun dalam bidang sama.

Dengan sedikit pengubahsuaian di beberapa komponen hasil sentuhan ‘magis’ Ariff Ridzuan Rosalan, motosikal Honda Cub 70cc atau ‘kapcai’ yang berkuasa rendah mampu bertukar menjadi Chopper dengan kuasa enjin mencecah sehingga 125cc.

Chopper Cub iaitu inovasi kreatif dihasilkan anak bongsu daripada empat beradik ini direka dengan menggunakan kerangka badan ‘kapcai’ berusia 30 tahun milik bapanya yang kemudian diubah suai dengan tambahan aksesori seperti tayar kereta, enjin Lifan 125cc serta ekzos direka khas selain turut mempunyai gear undur bagi memudahkan pergerakan motosikal.

Ariff Ridzuan berkata, motosikal ‘kacukan’ versi Chopper itu yang pertama dihasilkan dan menelan belanja RM15,000 susulan minatnya terhadap motosikal klasik sejak di bangku sekolah rendah.

“Waktu kecil dulu, saya minat tengok Awie menunggang Chopper dalam filem lakonannya sehingga saya menggelarkan motosikal itu sebagai ‘Motosikal Awie’ kerana pada waktu itu masih tidak tahu jenis motosikal digunakannya.

“Minat itu bagaimanapun semakin membuak-buak apabila saya mula berjinak-jinak dalam bidang membaiki motosikal dengan bekerja di bengkel bapa saudara selepas tamat sekolah menengah,” katanya ketika ditemui di Program Bera Riders PO90 Parlimen Bera, di sini, baru-baru ini.

Katanya, Chopper Cub direkanya pernah ditunggang sehingga ke Cameron Highlands, Pahang dan turut menyertai beberapa pameran motosikal sebelum ini.

Menurut graduan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Jengka ini, demi minatnya dia bertekad mengambil langkah besar dengan membuka bengkel miliknya sendiri pada 2014 untuk lebih bereksperimen dalam bidang pengubahsuaian motosikal.

“Apabila memiliki bengkel sendiri, saya bebas melakukan kerja pengubahsuaian dan lebih fokus pada hasil kerja dilakukan.

“Malah, selain mengubah suai, saya turut membaiki dan menjual aksesori motosikal klasik sama ada yang sudah diubah suai atau tidak khusus buat mereka yang meminatinya,” katanya yang membuka bengkel berkenaan di Kerayong, di sini.

Katanya, dia sanggup berulang-alik ke Indonesia setiap bulan bagi membeli bekalan aksesori dan komponen yang tidak ada di sini memandangkan harga ditawarkan di negara jiran itu lebih berpatutan.

Mengulas mengenai cetusan idea rekaan, Ariff Ridzuan berkata, dia tidak pernah kekeringan idea dalam menghasilkan ciptaan baru.

“Meskipun Chopper Cub itu motosikal klasik kacukan versi Chopper pertama saya hasilkan, namun sebelum ini saya sudah mengubah suai dan menyiapkan 35 motosikal kacukan lain.

“Idea serta inspirasi rekaan ini sudah semestinya terhasil daripada rancangan ‘American Chopper’ yang kemudian saya sesuaikan mengikut persekitaran, bahan serta kos yang ditetapkan pelanggan,” katanya.

Ariff Ridzuan berkata, kebanyakan pelanggannya terdiri daripada golongan kenamaan yang menjadikan motosikal kacukannya sebagai barangan koleksi dan pernah dibeli dengan harga tertinggi RM25,000.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2016 @ 5:45 AM