Pengerusi SPAN, Charles Santiago (dua dari kiri) menunjukkan kerja utama yang menyebabkan gangguan bekalan air sambil disaksikan Suhaimi (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Pengerusi SPAN, Charles Santiago (dua dari kiri) menunjukkan kerja utama yang menyebabkan gangguan bekalan air sambil disaksikan Suhaimi (kiri). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Irwan Shafrizan Ismail


TIADA rebat dibayar kepada pengguna domestik dan industri yang terjejas susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Suhaimi Kamaralzaman berkata, ia berikutan notis makluman kepada pengguna sudah diberikan.

Beliau berkata, melalui notis berkenaan pihaknya berharap pengguna yang terjejas dapat melakukan persediaan dengan menyimpan air untuk kegunaan mereka selama dua hari.

“Kerja penambaikan ini tidak boleh ditangguhkan memandangkan perkakasan sistem bekalan elektrik berkenaan sudah kritikal dan bagi mengelakkan gangguan air tidak berjadual pada masa akan datang.

“Air Selangor akan menghantar 106 lori tangki air di kawasan terjejas pada 26 April ini jika bekalan air masih belum pulih.

“Namun bagi kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, bekalan air dihantar pada hari pertama bekalan air ditutup,” katanya pada sidang media di Cyberjaya hari ini.

Semalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan masalah bekalan air hingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di LRA SSP2 pada 24 April ini.

Suhaimi berkata, bagi kes kecemasan dan mereka yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi talian hotline 15300 atau WhatsApp 019-2816793 atau 0192800919 yang dibuka 24 jam.

Gangguan bekalan berkenaan akan membabitkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Air Selangor menjangkakan hampir 50 peratus daripada kawasan terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam.

Berita berkaitan

Gangguan bekalan air di KL, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:08 PM