ROSNIZA Othman, 45 (kanan) membeli tong air 12 galon untuk menyimpan bekalan air yang secukup sepanjang tempoh 86 jam gangguan bekalan air pada 24 hingga 26 April ini ketika tinjauan di kedai perkakasan sekitar Seksyen 18. FOTO Saddam Yusoff
ROSNIZA Othman, 45 (kanan) membeli tong air 12 galon untuk menyimpan bekalan air yang secukup sepanjang tempoh 86 jam gangguan bekalan air pada 24 hingga 26 April ini ketika tinjauan di kedai perkakasan sekitar Seksyen 18. FOTO Saddam Yusoff
Iskandar Shah Mohamed dan Ruwaida Md Zain


BAHANG persiapan bagi gangguan bekalan air selama 86 jam bermula Rabu ini kian terasa apabila beberapa kedai yang menjual tong air di sekitar Shah Alam, kehabisan stok.

Ia berikutan orang ramai mula membeli tong pelbagai saiz bagi menyimpan bekalan air sepanjang tempoh berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di Seksyen 2, Seksyen 7, Seksyen 18, dan Seksyen 23 mendapati, rata-rata pemilik kedai perkakasan terpaksa membuat tempahan baharu tong air terutama yang bersaiz 48 liter.

Pembantu kedai dikenali sebagai Maskarto, 30, berkata, orang ramai didapati mula membeli tong air sejak kelmarin.

“Namun, semalam paling ramai pelanggan datang iaitu setiap seorang membeli empat atau lima tong air. Ada daripada mereka turut membeli sehingga 20 tong.

“Selain bersaiz besar, ada pelanggan membeli tong bersaiz 32 liter, malah masih ramai datang pada hari ini,” katanya.

Selain daerah ini, gangguan bekalan air dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada Rabu ini.

Pelaksanaan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 itu akan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Sementara itu, pengguna, Nazeem Abd Rahim, 34, berkata, dia sekeluarga membuat persiapan awal membeli tong air berikutan bimbang tidak berkesempatan kerana gangguan berlaku pada hari bekerja.

“Saya membeli 10 tong air yang mungkin mencukupi untuk kegunaan selama tiga hari dan berharap bekalan kembali pulih secepat mungkin.

“Selain itu, saya dimaklumkan bahawa pihak berkaitan juga menyediakan lori tangki air di kawasan terjejas,” katanya yang menetap di Seksyen 7.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman memaklumkan sebanyak 106 lori tangki air akan dihantar ke kawasan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 2:31 PM