TINJAUAN pili awam yang disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdekatan Masjid Ar Rahimah Sri Andalas, Klang, mendapati lokasi itu lengang. FOTO Faliq Lajim
TINJAUAN pili awam yang disediakan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berdekatan Masjid Ar Rahimah Sri Andalas, Klang, mendapati lokasi itu lengang. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim


PENDUDUK di sekitar Klang dan Shah Alam menarik nafas lega apabila gangguan bekalan air susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) bermula semalam, kini beransur pulih.

Penduduk Taman Sri Andalas, Muhd Ali Zakariah, 44, berkata, dia memuji tindakan pantas pihak berkaitan berikutan kerja penambahbaikan itu mampu disiapkan lebih awal daripada tempoh ditetapkan.

“Rumah saya tiada air sejak 10 pagi semalam dan sudah bersiap sedia menadah air dalam tong sebagai bekalan bagi menghadapi gangguan bekalan selama empat hari.

“Namun, pagi tadi saya mendapati bekalan air sudah ada dan lega kerana tidak perlu menunggu lama. Mereka beri jangkaan dalam jangka masa panjang, namun dapat menyelesaikannya dalam tempoh singkat,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bagi pengusaha katering, Mohd Faiz Md Khair, 32, dia turut bersyukur apabila mendapati bekalan air kembali pulih hari ini.

“Bekalan air terputus 9.30 pagi semalam, namun saya sudah bersedia dengan simpanan air yang banyak dan turut merancang mendapatkan bekalan di pili awam jika ia masih tidak mencukupi.

“Kini, saya dapat kembali menjalankan perniagaan dengan menerima tempahan seperti biasa,” katanya yang menetap di Seksyen 10, Shah Alam.

Tinjauan di beberapa pili awam yang disediakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di sekitar dua daerah itu juga didapati masih lengang.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kawasan masih menghadapi gangguan bekalan air berikutan ia akan kembali pulih sepenuhnya secara berperingkat.

Selain itu, beberapa restoran di sekitar daerah ini turut didapati masih menggunakan pinggan dan cawan pakai buang plastik untuk pelanggan mereka.

Bagi pengusaha restoran yang mahu dikenali sebagai Zamri, 45, dia masih menggunakan pinggan dan cawan pakai buang berikutan tekanan air di premisnya rendah.

“Air memang sudah ada namun aliran amat kecil dan saya terpaksa menggunakan bahan pakai buang itu sehingga bekalan air kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Gangguan bekalan air turut berlaku di Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Pelaksanaan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) itu perlu segera dibuat bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 itu menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Bagi kes kecemasan yang memerlukan bekalan air, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka selama 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 April 2019 @ 3:00 PM