Ekhwan Haque Fazlul Haque


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas 97 premis menjual tong air dan air mineral bermula kelmarin.

Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, setakat ini tiada sebarang notis atau kompaun dikeluarkan kepada peniaga.

Menurutnya, pemantauan juga mendapati tiada kenaikan harga dikesan, namun pemantauan sehingga krisis air selesai akan diteruskan.

“KPDNHEP Selangor terus menggerakkan anggota dan pegawai memantau kerana tidak mahu ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sewenangnya.

“Peningkatan permintaan terhadap tong air dan air mineral pasti membuka peluang untuk peniaga mengaut keuntungan berganda sehingga membebankan pengguna,” katanya dalam sidang media selepas menjalankan pemeriksaan di sekitar premis di Puchong Utama, di Puchong, hari ini.

Katanya, pengguna juga digesa untuk membuat aduan kenaikan terus kepada KPDNHEP agar tindakan segera dapat diambil.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan sehingga krisis air ini selesai 27 April ini.

“Peniaga yang dikesan menaikkan harga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya.

Gangguan bekalan air dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor bermula hari ini susulan kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melaksanakan kerja penyelenggaraan itu bagi mencegah sebarang kerosakan atau risiko kegagalan sistem elektrik sekali gus mengelak gangguan bekalan air tidak terancang kepada pengguna.

Henti tugas LRA SSP2 menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam kepada 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 3:14 PM
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan premis menjual tong air berikutan gangguan bekalan air dari 24 sehingga 27 April di Aeon Big, Puchong Utama . FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhammad Zikril Azan Abdullah (dua dari kiri) melakukan pemeriksaan premis menjual tong air berikutan gangguan bekalan air dari 24 sehingga 27 April di Aeon Big, Puchong Utama . FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din