GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Seremban: Polis menerima laporan berhubung kejadian penderaan bayi lelaki berusia setahun di Sikamat, seperti yang tular di media sosial, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak.

Beliau berkata, pihaknya mengesan satu kenyataan tular di aplikasi Instagram oleh pemilik akaun @faradelyn.aris, yang mendakwa anaknya didera oleh pengasuh.

"Semakan pihak polis mendapati satu laporan polis diterima pada 7 Dis lalu berkaitan kejadian tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

"Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM50,000 atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, orang ramai diingatkan tidak terlibat dalam apa-apa bentuk penganiayaan atau pengabaian ke atas kanak-kanak.

Dalam pada itu, pemilik akaun Instagram @faradelyn.aris mendakwa ketika sedang menukar lampin, suaminya melihat banyak kesan lebam di belakang badan anaknya itu pada 5 Dis.

Menurut ibu mangsa itu, mereka baru tiga bulan menghantar anak kepada pengasuh tersebut dan selama tempoh itu, dia mendapati terdapat kesan lebam pada badan anak tetapi tidak dimaklumkan oleh pengasuh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 6:38 PM