FARAH Amani yang dilaporkan hilang ditemui selamat
FARAH Amani yang dilaporkan hilang ditemui selamat
Nor Azizah Mokhtar


“Alhamdulillah anak saya ditemui dalam keadaan selamat. Itu yang paling penting,” kata Mohammad Fauzi Abdul Wahab, bapa kepada pelajar tingkatan tiga, Farah Amani, 15, yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediamannya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Isnin lalu.

Beliau yang dihubungi NSTP, memaklumkan anak bongsunya daripada dua beradik itu sudah pun dibawa pulang ke rumah kira-kira 2 petang hari ini dari Balai Polis Sikamat, Seremban.

"Terlebih dahulu, Farah Amani menghubungi telefon bimbit ibunya 11.50 pagi tadi memaklumkan dia berada berhampiran sebuah balai polis itu dan meminta kami mengambilnya.

"Saya kemudian minta dia masuk ke balai polis berkenaan (Balai Polis Sikamat) sebelum saya dan isteri terus bergegas ke sana untuk bertemunya," katanya.

Menurut Fauzi, ketika ditemui, anaknya itu berada dalam keadaan baik walaupun kelihatan agak lemah mungkin akibat keletihan.

"Dia salam dan peluk kami namun kami tidak mahu bertanya banyak kepadanya kerana apa yang penting dia sudah ditemui dalam keadaan selamat.

"Buat masa ini kami hanya mahu dia berehat sehinggalah dia bersedia menceritakan perkara sebenar yang berlaku," jelas Fauzi.

NSTP sebelum ini melaporkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussien Onn itu disedari hilang apabila Zaleha ingin mengejutnya untuk solat subuh pada 5.30 pagi, kelmarin.

Susulan kehilangan Farah Amani itu, Fauzi, 49, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 3:10 PM