HM Digital

Kuala Lumpur: Bajet 2019 diharap memberikan penyelesaian tuntas terhadap projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang masih belum selesai sejak diumumkan enam tahun lalu.

Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Muhammad Fadzli Hasan berkata, generasi kedua FELDA amat mengharapkan kerajaan menyediakan inisiatif dalam Bajet 2019 bagi menyelesaikan pembinaan 20,000 rumah itu.

“Antara harapan belia FELDA dalam Bajet 2019 adalah berkenaan isu yang belum selesai, iaitu projek PGBF yang ketika ini baru membabitkan pembinaan kira-kira 8,000 unit rumah berbanding 20,000 unit rumah.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,234 unit rumah yang sudah siap dibina, itu pun hanya sebahagian sahaja sudah diserahkan kepada pembeli.

“Malah, kebanyakan lokasi projek PGBF sudah terbengkalai kerana terlalu lama terbiar dan jika berterusan, kos untuk menyiapkan projek ini pasti lebih besar nanti,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, dilaporkan berkata, FELDA memerlukan suntikan dana sebanyak RM955 juta untuk menyiapkan projek PGBF yang kini diklasifikasikan sebagai tergendala.

MUHAMMAD Fadzli
MUHAMMAD Fadzli

Projek PGBF diumumkan oleh kerajaan terdahulu ketika pembentangan Bajet 2013, dimana 20,000 unit rumah akan dibina dalam tempoh lima tahun di tanah rancangan FELDA bagi memberi peluang kepada generasi baharu memiliki rumah.

Muhammad Fadzli berkata, Bajet 2019 juga diharap menyediakan peruntukan khusus kepada FELDA supaya tiada lagi tunggakan pembayaran wang sara hidup kepada peneroka.

“Wang sara hidup ini ibarat periuk nasi kepada peneroka dan MBFM harap tiada lagi penangguhan seperti sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Fadzli berkata, MBFM juga berharap kerajaan akan membuat pengumuman tertentu berhubung menghapuskan hutang tidak wajar peneroka FELDA seperti dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 11:19 AM