Omar Ahmad


Kulai: Pengurusan tertinggi Felda perlu tampil memberi penjelasan berhubung isu pelupusan hutang bagi mengelak kekeliruan kepada rakyat khususnya peneroka.

Peneroka Felda Taib Andak yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi, 79, berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda juga sesuatu yang mengelirukan.

Katanya, pelupusan hutang Felda telah dilaksanakan pada 2021 dengan penghapusan lebih 70 peratus hutang peneroka.

"Ini bukti nyata, bukti penyata pelupusan hutang yang dikeluarkan Felda dan diambil di pejabat rancangan Felda Taib Andak pada 31 Disember 2019. Berdasarkan penyata pinjaman peneroka saya, hutang kebun iaitu tanam semula berjumlah RM85,313 bagi tanaman kelapa sawit 10 ekar.

"Bagi kategori hutang sosio ekonomi (pinjaman bayaran rumah, pinjaman komputer, skim usahawan Felda), saya tiada ambil pinjaman jadi tiada jumlah dalam penyata saya.

"Jumlah keseluruhan hutang saya bernilai RM85,313. Hapus hutang kebun ialah RM76,461.88. Jadi baki hutang saya ialah RM8,851.12.

"Penghapusan hutang akan dilaksanakan pada tahun kewangan 2021 dan tertakluk kepada peneroka yang menandatangani perjanjian pengurusan kebun yang menjual hasil kebun terus kepada Felda. Pada November 2021, baki hutang saya telah ditolak dengan potongan RM463," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di kediamannya di Felda Taib Andak di sini, hari ini.

Menurut Tosrin, sejak 1979 menjadi peneroka, ini adalah kali pertama peneroka Felda diberi penyata yang lengkap.

Katanya, menerusi penghapusan hutang itu, baki hutang dan bayaran balik setiap peneroka tidak sama.

"Sekarang kalau lihat ramai pemimpin politik yang memberi kenyataan berhubung isu pelupusan hutang Felda, sedangkan pihak pengurusan tertinggi Felda hanya mendiamkan diri.

"Isu pelupusan hutang Felda ini benar telah dilaksanakan, sepatutnya pengurusan tertinggi Felda tampil memberikan penjelasan berhubung isu ini, supaya ia tidak mengelirukan peneroka," katanya.

Sementara itu, Ketua Pentadbir Ladang Felda Taib Andak, Hairolnizam Kusnin, 38, berkata sebagai wakil generasi kedua isu seperti itu amat diambil berat.

"Saya keliru dengan kenyataan pelupusan Felda baru-baru ini, kerana kami telah membayar baki hutang selepas pelupusan dibuat sebanyak kira-kira RM400 sebulan.

"Sebelum pelupusan hutang dibuat, peneroka atau wakil perlu membayar RM800 hingga RM1,500 berdasarkan keluasan tanaman. Pihak pengurusan Felda perlu bersuara, jika terus berdiam pasti akan menimbulkan salah faham dikalangan peneroka sendiri," katanya.

Pada 7 Julai, sempena Hari Peneroka, Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Sebelum itu 2021, Muhyiddin ketika itu sebagai Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 4:33 PM