NIK Hasmani menunjukkan gambar Adam ketika ditemui perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. FOTO NOR AMALINA ALIAS
NIK Hasmani menunjukkan gambar Adam ketika ditemui perkarangan bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


“SAYA hilang satu-satunya anak lelaki, malah anak bongsu yang menjadi kesayangan keluarga dalam sekelip mata,” kata Nik Hasmani Mohamad, 44, ibu kepada murid lelaki yang maut selepas terjatuh dari bas yang sedang bergerak Kampung Kandis, Pasir Puteh, tengah hari tadi.

Nik Hasmani berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya, Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, selepas dihubungi penganjur memaklumkan bas dinaiki anaknya bersama 30 murid lain terbabit dalam kemalangan.

Katanya, dia dan keluarga diminta segera ke hospital, namun tidak dimaklumkan anaknya sudah meninggal dunia dan hanya mengetahuinya sebaik tiba di bilik mayat Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

“Ketika tiba di hospital, saya bertanyakan guru dan penganjur apa yang terjadi tetapi mereka hanya mengangguk-angguk dengan wajah sedih.

“Suami masuk ke bilik mayat dan memberitahu anak parah akibat digilis tayar bas,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat hospital.

Nik Hasmani berkata, anaknya yang mesra dipanggil Adam adalah anak bongsu daripada empat beradik.

Katanya, Adam yang juga pengawas sekolah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan pernah memberitahu mahu memasuki sekolah berasrama penuh selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini.

“Cuma pagi tadi ketika bersiap nak ke sekolah, dia sempat bertanya sama ada perlu sertai bengkel itu atau sebaliknya. Tak sangka itu petanda akan kehilangannya selamanya,” katanya.

Terdahulu, murid Tahun Enam itu bersama rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama dua hari.

Mayat mangsa dibawa pulang ke rumah keluarganya di Taman Bakti, Bukit Belah, Machang dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Belah, Machang, malam ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mangsa dipercayai bermain dalam bas

Tragedi lantai bas reput

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 8:20 PM