MAZLAN (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas. FOTO NSTP
MAZLAN (dua dari kanan) menunjukkan senjata api yang dirampas. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG lelaki tidak sempat menjual revolver selepas dia ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Rahmat Off Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan ketika sedang menunggu pembeli senjata berkenaan.

“Susulan penahanan lelaki berkenaan, polis kemudian menemui senjata berkenaan yang ingin dijual dengan harga RM5,000 bersama dua butir peluru .38mm di sebuah rumah di Taman Dato Senu, Sentul.

“Siasatan mendapati, suspek mendapatkan revolver berkenaan daripada seorang rakan yang meminta dia menjualnya,” katanya.

Mazlan berkata, polis turut merampas satu telefon pintar dan beg sandang daripada suspek.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif ujian dadah, namun semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Suspek direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Dalam kes berasingan, Mazlan berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan seorang lelaki yang juga saki baki Geng Ah Tee.

“Lelaki berusia 31 tahun itu di sebuah rumah di Taman Gembira, Kuchai Lama Sabtu lalu selepas risikan dilakukan.

“Serbuan di rumah berkenaan menemui serbuk ekstasi seberat 3.1 kilogram (kg); 129 cecair ekstasi, 70 biji pil ekstasi, 40 biji eramin 5 dan 185 batang rokok berisi ganja,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM900 dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

“Anggaran nilai rampasan dadah adalah RM150,000. Polis percaya terdapat beberapa lagi geng Ah Tee yang kini giat diburu.

“Suspek kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 5:00 PM