Nur Izzati Mohamad


BUKAN semua mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik mahupun hospital swasta kerana kosnya terlalu tinggi.

Menyedari situasi itu, Hospital Pakar KPJ menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Perbadanan Wakaf Johor Corporation membangunkan Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) di Masjid Jamek Seberang Jaya.

Klinik yang mula beroperasi di bangunan baharu sejak awal tahun ini dikatakan sudah menawarkan perkhidmatan kepada 400 penduduk dengan kadar bayaran hanya RM5 iaitu membabitkan rawatan dan ubat.

Pengarah Eksekutif Operasi Perniagaan, Teknologi dan Perkhidmatan Klinikal KPJ Healthcare Sdn Bhd, Jasimah Hassan berkata, kos mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta amat tinggi dan tidak semua mampu lantaran kekangan kewangan.

“Jadi, kami mulakan inisiatif menubuhkan KWAN di negeri ini. Ia bermula daripada sebuah kabin pada 1 Mac 2013 sebelum dinaik taraf kepada sebuah bangunan menelan kos sebanyak RM600,000 dengan operasinya bermula awal Januari lalu.

“Ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di samping menawarkan rawatan dan ubatan berkualiti,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian klinik berkenaan, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Turut hadir, Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Kassim.

KWAN ditubuhkan pada 1998 di Plaza Kotaraya, Johor Bahru sebelum ia berkembang dan memiliki lebih 25 cawangan di seluruh negara.

Menariknya, klinik itu memberikan rawatan perubatan dan perundingan kepada masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Antara rawatan yang terdapat di KWAN termasuk rawatan asas seperti demam, selesema, sakit perut dan batuk.

Klinik wakaf itu dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Dalam pada itu, Jasimah berkata, pihaknya turut merancang untuk mengadakan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Fuziah Derani, 55, berkata, dia sudah dua kali mendapatkan rawatan di klinik wakaf itu dan sememangnya memberi manfaat kepada orang ramai yang mendapatkan rawatan di klinik swasta.

“Bayangkan, selalunya untuk berjumpa doktor saja kosnya sudah belasan ringgit, tidak termasuk ubat yang boleh mencecah hingga puluhan atau ratusan ringgit.

“Tetapi di sini hanya RM5, kita sudah boleh mendapatkan rawatan dan ubat berkualiti. Paling penting mendapat layanan baik daripada doktor serta jururawat sama seperti berkunjung ke klinik mahupun hospital swasta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:42 PM
AHMAD Zakiyuddin (tiga dari kanan) merasmikan Klinik Waqaf An-Nur. FOTO/ Rosli Ahmad
AHMAD Zakiyuddin (tiga dari kanan) merasmikan Klinik Waqaf An-Nur. FOTO/ Rosli Ahmad
KLINIK Waqaf An-Nur yang pada mulanya kabin sebelum dinaik taraf kepada bangunan. FOTO/ Rosli Ahmad
KLINIK Waqaf An-Nur yang pada mulanya kabin sebelum dinaik taraf kepada bangunan. FOTO/ Rosli Ahmad