FOTO hiasan.
FOTO hiasan.
BERNAMA

SEBUAH klinik swasta di Lebuh Naning, Georgetown, disita kerana beroperasi tanpa lesen dan menjual sijil cuti sakit kepada orang ramai tanpa perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Klinik yang beroperasi sejak 16 tahun lalu itu disita dalam operasi pada 3 petang semalam oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang.

Berdasarkan maklumat pihak CKAPS JKN, Bahagian Farmasi membuat pemeriksaan di klinik itu pada 2018 dan sudah diberi amaran kerana didapati ada ubat yang tamat tarikh luput, malah sistem pendaftaran dan rekod kesihatan pesakit tidak teratur.

Sumber berkata, pemeriksaan berikutnya mendapati keadaannya masih sama dan pada 10 Disember tahun lalu JKN menarik lesen klinik itu.

Namun, pemantauan mendapati klinik itu masih beroperasi dan menjual sijil cuti sakit difahamkan pada harga RM10 sehari.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Asmayani Khalib ketika dihubungi Bernama mengesahkan klinik itu disita.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 91(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 2:15 PM