Sultan Ibrahim Iskandar
Sultan Ibrahim Iskandar
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Hospital Pakar KPJ Damansara 2 (DSH2) di sini, hari ini.

Ketibaan Baginda pada jam 12.12 tengah hari disambut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Pengerusi Johor Corporation (JCorp), Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Royani, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamad Syed Ibrahim dan Pengerusi KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), Datuk Md Arif Mahmood.

Majlis dimulakan dengan baginda berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian hospital diikuti tayangan montaj dan bacaan doa lobi utama sambil disaksikan barisan pengurusan dan kakitangan DSH2.

Baginda turut melawat kompleks hospital di bawah KPJ Healthcare Bhd.

Dibuka pada 1 September 2022, DSH2 dibina di tanah berkeluasan 1.12 hektar dengan 300 kapasiti katil, 10 unit rawatan rapi (ICU) dan tujuh dewan bedah.

Sementara itu, pelancaran DSH2 adalah sebahagian daripada usaha berterusan KPJ Healthcare untuk menetapkan penanda aras dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan selain turut menetapkan standard baharu dalam penjagaan klinikal, tumpuan pesakit dan pelanggan .

DSH2 menggabungkan dan memanfaatkan kuasa digital dan teknologi, dilengkapi dengan kakitangan, jururawat dan perunding yang terlatih dan berpengalaman, bagi memastikan pesakit dan pelanggannya menerima tahap penjagaan dan perkhidmatan yang tiada tandingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:10 PM