AMIRUDDIN (dua dari kanan) bersama  Jasimah (dua dari kiri) dan Sherene  (kanan) ketika majlis pelancaran nama baru Hospital KPJ Tawakkal, semalam.
AMIRUDDIN (dua dari kanan) bersama Jasimah (dua dari kiri) dan Sherene (kanan) ketika majlis pelancaran nama baru Hospital KPJ Tawakkal, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin


KPJ Healthcare Bhd (KPJ Healthcare) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sekitar RM200 hingga RM300 juta tahun ini dalam usaha memperkukuh kedudukannya sebagai pengendali hospital swasta tempatan.

Presiden dan Pengarah Urusannya, Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata, peruntukan itu selari dengan matlamat hospital itu untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

Beliau berkata, dalam memperhebat operasinya, sebuah hospital baharu yang lebih besar dengan jenama KPJ Healthcare akan dibuka pada suku ketiga tahun ini bagi memenuhi permintaan serta keperluan semasa dari pelanggannya.

“Hospital baharu ini sudah siap dan menunggu beberapa proses lagi seperti Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) serta pengambilan pekerja termasuklah doktor, jururawat dan pentadbiran.

“Malah, tahun ini cawangan KPJ Healthcare di Kuching, Sarawak akan berpindah ke bangunan lebih besar dan moden pada masa dua ke tiga bulan lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran nama baru Hospital KPJ Tawakkal sebagai Hospital Pakar KPJ Tawakal KL di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi KPJ Tawakal KL, Jasimah Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Sherene Azli.

KPJ Healthcare ketika ini mempunyai sekitar 28 hospital yang beroperasi di seluruh negara antaranya di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai segmen pelancongan kesihatan, Amiruddin berkata, pihaknya menyasarkan KPJ Healthcare mampu meraih pendapatan sehingga RM200 juta pada tahun ini dari segmen berkenaan.

“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan yang memperkenalkan pelancongan kesihatan serta menjadikan Malaysia destinasi serta hab untuk segmen ini.

“Kami lihat ada pertumbuhan permintaan signifikan daripada segmen pelancongan kesihatan dan ia antara pemangkin pengembangan hospital ini,” katanya.

Sementara itu, Jasimah berkata, setelah tiga dekad menawarkan khidmat kepada masyarakat sekitar ibu kota, KPJ Tawakkal mengambil langkah meletak singkatan nama Kuala Lumpur (KL) pada namanya.

Menurutnya, nama KPJ Tawakkal KL mencerminkan hubungan positif antara pelanggan di mana Kuala Lumpur menjadi asas operasi sehingga hospital itu mampu meluaskan operasi perkhidmatan Hospital Tawakkal ke pasaran baharu.

“Kami percaya KPJ Tawakkal KL menjadi duta yang baik untuk menaikkan nama ibu kota ini di pasaran antarabangsa sekali gus menjadikan Malaysia destinasi pelancongan kesihatan antarabangsa bertaraf dunia,” katanya.

Tambahnya, pada tahun lalu hospital itu mencatat perolehan RM14 juta dari 20,000 pelanggannya yang terdiri daripada pelancong kesihatan dan berharap untuk meningkatkannya sebanyak 15 peratus pada 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 1:44 PM