Ishak (baju putih) menunjukkan buah-buahan yang dijual di majlis pelancaran Program MyBest Buy & Jualan Terus Dari Ladang Bulan Oktober 2019 Sempena Sambutan Ulang Tahun FAMA Ke-54 di pekarangan Bangunan FAMA Point, Selayang hari ini. Foto Aswadi Alias
Ishak (baju putih) menunjukkan buah-buahan yang dijual di majlis pelancaran Program MyBest Buy & Jualan Terus Dari Ladang Bulan Oktober 2019 Sempena Sambutan Ulang Tahun FAMA Ke-54 di pekarangan Bangunan FAMA Point, Selayang hari ini. Foto Aswadi Alias
Nor Akmar Samudin

ORANG tengah perlu mendaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menjelang tahun depan supaya pemantauan dapat dilakukan agar mereka tidak menindas petani dan meningkatkan harga hasil pertanian berkali ganda kepada pengguna.

Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata, mereka mesti bertanggungjawab, diberikan peranan yang sewajarnya dan diiktiraf.

“Mereka boleh mendaftar secara dalam talian menerusi ‘Daftar Pemasar’. Jika mereka boleh jadi ejen penghantar profesional, saya yakin mereka dapat menyeimbangkan tahap kecekapan mereka.

“Dengan kewujudan Daftar Pemasar itu, FAMA boleh tahu siapa mereka, di mana mereka bergerak, berapa jumlah mereka dan apa komoditi yang mereka dagangkan.

“FAMA boleh bekerjasama dengan lebih baik dan membantu mereka mengenai kaedah membawa hasil dari ladang ke lokasi jualan dengan lebih efisien dan efektif,” katanya yang ditemui di majlis pelancaran Program MyBest Buy (MBB) & Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Bulan Oktober Sempena Sambutan Ulang Tahun FAMA Ke-54 di pekarangan Bangunan FAMA Point di Selayang hari ini.

Beliau berkata, FAMA dan agensi berkaitan melihat perlunya ada orang tengah dalam rantaian pemasaran.

“Saya tak dapat pastikan berapa tetapi ada berjuta orang tengah dan kita akan pastikan mereka mendaftar dengan FAMA yang akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita juga akan menyusun program latihan untuk mereka menjadi ejen profesional.

“Ia akan dilakukan secepat mungkin dan Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (141) memberikan kuasa kepada FAMA untuk mendaftarkan semua pihak yang berhasrat menanam untuk tujuan menjual,” katanya.

Menurutnya, FAMA ketika ini perlu selesaikan kaedah dan peraturan pendaftaran berkenaan dan apabila sudah selesai barulah dimulakan proses pendaftarannya.

Kata Ishak, FAMA juga akan terbabit dalam aktiviti pemborongan untuk mengawal harga barang pertanian di pasar di lokasi strategi di bawah kendalian FAMA.

“Kepada graduan yang masih menganggur, mereka boleh menjadi ejen jualan atau dropship.

“Mereka akan dilatih dan diberikan kursus dengan melayari Use Oneline Marketing Enterprenuer dan Women Online Marketing Enterprenuer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 4:47 PM