MOHAMAD berucap ketika berkempen di Mambau, semalam. FOTO Bernama
MOHAMAD berucap ketika berkempen di Mambau, semalam. FOTO Bernama
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid

BARISAN Nasional (BN) tidak berdepan cabaran sepanjang tempoh berkempen berdasarkan momentum sambutan masyarakat dan pengundi di Rantau.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini memandangkan gerak kerja jentera parti berada pada tahap terbaik untuk bertemu seramai mungkin pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Menurutnya, lebih memudahkan kempen apabila rekod kerja yang baik sepanjang menjadi wakil rakyat menjadi sandaran BN untuk terus mendekati pengundi.

“Saya anak Rantau... lahir dan membesar di sini (di Rantau). Jadi tiada sebarang masalah kerana pengundi dan masyarakat dah lama kenal saya.

“Bukan hanya ketika berkempen tapi menjadi kelaziman saya bertemu masyarakat di Rantau ketika jadi Menteri Besar dulu untuk menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

“Tiada sebarang cabaran besar sepanjang berkempen kerana jentera dari BN dan PAS memainkan peranan menyeluruh untuk bertemu pengundi di semua pusat daerah mengundi,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan BN DUN Rantau, hari ini.

Mohamad lebih popular dipanggil Tok Mat dalam kalangan masyarakat tempatan bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram bersama dua calon bebas Mohd Nor Yassin dan R Malarvizhi.

Kempen yang sudah memasuki hari keenam ini dilihat berjalan lancar antara parti bertanding tanpa sebarang insiden yang mengundang kekacauan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, momentum penerimaaan pengundi muda dilihat semakin baik berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Katanya, sepanjang berkempen, beliau sudah bertemu ramai anak muda dan berharap sokongan itu diterjemahkan pada 13 April ini.

“Jika dalam PRU14 sambutan kurang memberangsangkan namun sekarang saya lihat semakin baik khususnya ketika berceramah dan berkempen,” katanya yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2019 @ 2:19 PM