MOHAMAD Hasan. FOTO Arkib NSTP
MOHAMAD Hasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


ADA usaha pihak tertentu yang berniat jahat menawarkan RM50 khususnya pengundi tegar Barisan Nasional (BN) untuk menyokong parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan pihak berkenaan untuk memburukkan imej BN khususnya dalam kalangan pengundi.

Katanya, tindakan sedemikian melanggar peraturan pilihan raya yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan siasatan segera perlu diambil.

Menurutnya, pengundi yang ditawarkan wang diminta untuk membuat laporan polis supaya siasatan lanjut dapat dijalankan SPR secepat mungkin.

“Saya nafikan tindakan (menawarkan RM50 kepada pengundi) dilakukan jentera BN. Saya ada dihubungi pengundi memaklumkan mereka menerima panggilan sejak semalam.

“Ini kerja pihak yang nak burukkan BN kononnya tawarkan wang. Undi itu rahsia dan mereka (pengundi) berharap mengundi calon yang difikirkan layak.

“SPR juga perlu menjalankan siasatan secara telus dan tidak memihak kepada mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan BN PRK DUN Rantau, di Rembau, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum akan datang

Bagaimanapun kini fokusnya untuk memastikan BN dapat mengekalkan kerusi di Rantau.

“Saya tidak tolak kemungkinan itu (bertanding di Parlimen) tapi itu lama lagi. Sekarang kita fokus untuk menang di Rantau,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2019 @ 12:19 PM