GAMBAR yang dirakam kamera NEA menunjukkan seorang lelaki membuang puntung rokok dari apartmennya.
GAMBAR yang dirakam kamera NEA menunjukkan seorang lelaki membuang puntung rokok dari apartmennya.

Singapura: Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) akan memasang kamera di luar pangsapuri bagi mengesan penduduk yang suka membuang tisu dan puntung rokok ke luar tingkap.

NEA dilapor membuka tender kepada kontraktor bagi memasang kamera definisi tinggi untuk menangkap mereka yang suka membuang sampah.

Menurut dokumen yang diperoleh akhbar The Straits Times, kamera sementara dipasang bagi memantau kediaman penduduk yang disyaki suka membuang sampah keluar tingkap.

NEA menganggarkan purata 70 hingga 110 kamera yang akan dipasang setiap bulan dan 1,080 setahun untuk tempoh dua tahun akan datang.

Pada tahun lalu agensi itu menerima 2,500 aduan penduduk pangsapuri yang membuang sampah keluar tingkap berbanding 1,600 pada 2013.

NEA sebelum ini menggunakan kamera pengawasan di beberapa kediaman penduduk yang menerima aduan pembuangan sampah.

Pada Januari lalu, seorang penduduk didenda S$19,800 (RM53,825) selepas dirakam sering membuang puntung rokok keluar tingkap. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2015 @ 5:10 AM