Zuraida (kanan) menimbang bahan buangan aluminium sambil disaksikan Mohamed Azmin (dua kanan) dan Mohd Zain (kiri). FOTO Nurul Shafina Jemenon
Zuraida (kanan) menimbang bahan buangan aluminium sambil disaksikan Mohamed Azmin (dua kanan) dan Mohd Zain (kiri). FOTO Nurul Shafina Jemenon
Ahmad Suhael Adnan


ENAM puluh peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia masih ‘belum pandai’ membuang sampah ke dalam tong sampah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, tabiat yang menjadi amalan warga negara maju itu, belum menjadi darah daging kepada majoriti rakyat di negara ini.

Beliau berkata, kementerian berdepan cabaran untuk mendidik dan mengubah budaya negatif itu, khususnya dalam kalangan rakyat berusia antara 40 hingga 60 tahun yang sudah terbiasa tidak membuang sampah dalam tong sampah.

“Di negara maju, kalau tiada tong sampah, rakyat mereka akan simpan sampah peribadi dalam poket, beg tangan atau pegang sehinggalah jumpa tong sampah.

“Sekarang ini, budaya yang kita nak angkat ialah orang kena cari tong sampah, bukan tong sampah cari orang.

“Kita juga mesti berani menegur mereka yang tidak pandai buang sampah dalam tong sampah kerana tanpa budaya berani menegur ini, kita tak akan mencapai hajat menjadikan Malaysia negara yang bersih,” katanya pada Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di Ampang hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan serta Pengarah Urusan Petronas Dagangan Berhad (PETRONAS), Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Zuraida turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak melayan tuntutan orang ramai yang mahukan tong sampah tambahan di kawasan perumahan dan ruang awam.

“PBT jangan manjakan rakyat. Tong sampah sedia ada yang PBT sediakan di perumahan dan kawasan awan sudah mencukupi.

“Jangan layan bila rakyat kata tak ada tong sampah untuk buang sampah. Mereka kena belajar sendiri cari tong sampah, bukan tong cari dia,” katanya.

Terdahulu, program 3R On Wheels yang dilancarkan menyaksikan kerjasama Alam Flora dan PETRONAS, dengan menyediakan pusat pengumpulan barangan kitar semula di stesen minyak syarikat itu bermula di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer sebelum diperluas di 1,053 stesen Petronas seluruh negara.

Menerusi kerjasama itu, orang ramai yang menghantar sampah untuk dikitar semula di pusat pengumpulan itu bukan saja akan mendapat wang tunai malah mata ganjaran turut dikreditkan ke dalam Kad Mesra.

Zuraida berkata, kementerian juga akan meletakkan mesin anaerobic digestor yang berfungsi memproses sisa makanan menjadi baja di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 January 2019 @ 3:39 PM