Dr Azmi (tengah) pada sidang media yang disertai Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kanan) di SJKC Bandar Sri Sendayan, hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Dr Azmi (tengah) pada sidang media yang disertai Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kanan) di SJKC Bandar Sri Sendayan, hari ini. FOTO Hasriyasyah Sabudin.
Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) berharap peratusan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, lebih tinggi berbanding PRK lalu.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dr Azmi Sharom berharap pengundi memanfaatkan sepenuhnya hak sebagai rakyat Malaysia dengan keluar mengundi, 13 April depan.

“Kita berharap peratusa keluar mengundi PRK DUN Rantau ini mampu mengatasi jumlah yang direkodkan PRK DUN Semenyih, iaitu 73 peratus.

“(Untuk itu) Saya cabar pengundi di Rantau untuk sama-sama keluar mengundi pada April nanti dan merekodkan peratusan yang lebih tinggi.

“Buat masa ini, sasaran kita untuk dapat sekurang-kurangnya 70 peratus,” katanya pada sidang media selepas Penamaan Calon PRK DUN Rantau di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan, Rembau, hari ini.

PRK DUN Rantau akan menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandang kerusi iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan; R Malar (Bebas), Mohd Nor Yassin (Bebas) dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Dr S Streram.

Hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April, manakala hari pengundian pada 13 April.

Dalam pada itu, Dr Azmi berkata, SPR meneruskan penambahbaikan yang digunakan dalam PRK sebelum ini, antaranya mewujudkan dua saluran bagi pengundi berusia 60 tahun ke atas dan menambah waktu mengundi selama 30 minit.

“Waktu mengundi ditetapkan mulai 8 pagi hingga 5 petang sebelum ini, ditukar kepada 8 pagi sehingga jam 5.30 petang, malah kita menjangkakan keputusan penuh diumum pada 10 malam, 13 April,” katanya.

Menurutnya, 137 pemerhati pilihan raya dilantik daripada 15 organisasi terdiri daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi dan individu berkelayakan, bagi memantau perjalanan PRK itu.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 1:51 PM