KEADAAN bilik sewa dalam rumah kedai yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN bilik sewa dalam rumah kedai yang musnah terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


RUMAH kedai yang diubah suai menjadi bilik sewa musnah dalam kebakaran di Jalan Cerapu, Cheras, hari ini.

Difahamkan rumah kedai itu mempunyai 10 bilik yang dijadikan bilik sewa.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur ketika dihubungi memaklumkan menerima panggilan kecemasan pada 9.24 pagi.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Balai Bomba dan Penyelamat Pudu tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Operasi pemadaman dilakukan segera dan api dapat dikawal pada 9.55 pagi.

“Pemeriksaan mendapati lima bilik sewa musnah sepenuhnya dan lima lagi dapat diselamatkan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya yang memberitahu kebakaran membabitkan tingkat dua dan tiga rumah kedai itu.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 10.18 dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 1:35 PM