Nur Lela Zulkipli


PENYEWA di tingkat dua bangunan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Nenas, Klang, yang musnah dalam kebakaran malam tadi terselamat selepas mendengar jeritan mangsa meminta tolong dari tingkat atas.

Nizaruddin Mohd Shafie, 46, berkata, ketika kejadian, dia sedang berehat di bilik sewanya bersama seorang rakan sebelum terdengar jeritan dari tingkat atas.

“Saya sedang berehat di rumah ketika waktu Maghrib sebelum mendengar jeritan wanita meminta tolong.

“Sebaik naik, saya lihat api sudah besar dan kebanyakan penghuni sudah menyelamatkan diri.

“Unit rumah ini mempunyai bilik kecil disewakan dan saya sendiri menyewa bilik di tingkat bawah sejak lima bulan lalu,” katanya.

Kira-kira 20 penghuni rumah sewa di tiga unit rumah di tingkat tiga bangunan rumah kedai berkenaan hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka terbakar dalam kejadian 7.30 malam tadi.

Bagaimanapun, tindakan pantas pihak bomba berjaya mengawal api daripada marak ke rumah sewa lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas penghuninya berjaya menyelamatkan diri.

Seorang bekas penyewa di situ, Arni Taput, 25, berkata dia baru dua hari berpindah keluar untuk menyewa di bangunan rumah kedai di belakang lokasi kejadian.

“Saya sedang berbual dengan dua rakan di bawah rumah kedai ini apabila terdengar rakan menjerit berlaku kebakaran dari arah belakang.

“Ketika kejadian, rakan di rumah berkenaan sedang memasak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.42 malam sebelum dikejarkan ke lokasi.

Katanya, seramai lima pegawai dengan 33 anggota terbabit dalam operasi pemadaman dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Andalas dan Pelabuhan Klang.

“Api berjaya dipadamkan pada 8.30 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni berjaya keluar.

“Mereka dipercayai cuba memadamkan kebakaran berpunca dari dapur memasak, tetapi api terlalu marak berikutan dinding dibuat daripada kepingan kayu mudah terbakar.

“Difahamkan setiap unit rumah terbakar itu dibahagikan kepada enam bilik kecil yang disewakan,” katanya.

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran bangunan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Nenas, Klang, malam tadi. FOTO Faiz Anuar
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran bangunan rumah kedai tiga tingkat di Jalan Nenas, Klang, malam tadi. FOTO Faiz Anuar

Berita berkaitan

'Api dapur sambar dinding bilik sewa'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 12:47 AM