KEBAKARAN di gerai menjual keropok dan makanan ringan berhampiran Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Ihsan Pembaca
KEBAKARAN di gerai menjual keropok dan makanan ringan berhampiran Pasar Besar Kedai Payang. FOTO Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


EMPAT gerai menjual pelbagai jenis keropok dan makanan ringan berhampiran Pasar Besar Kedai Payang (PBKP) dekat Kuala Terengganu musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian hampir RM60,000.

Kejadian dipercayai berlaku 11.38 malam tadi menyebabkan sebuah daripadanya musnah 100 peratus manakala tiga lagi terbakar hampir 50 peratus.

Peniaga, Ibrahim Abdullah, 64, berkata, dia yang sebelum itu pergi membeli minuman di kedai berhampiran terkejut apabila melihat gerainya terbakar.

“Sebenarnya, saya mahu tutup gerai namun pergi beli air sementara seorang rakan menunggu di situ.

“Bagaimanapun, sebaik menghampiri gerai, saya terkejut apabila melihat api sebelum segera mendapatkan bantuan.

“Mujurlah balai bomba terletak hanya 200 meter dari gerai kami, jika tidak, mungkin ia merebak ke gerai lain,” katanya yang menanggung kerugian hampir RM30,000.

Selain gerai milik Ibrahim, kebakaran itu turut merebak ke tiga gerai lain yang ketika kejadian tidak beroperasi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Zuhan Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.41 malam.

“Tiga jentera dari BBP Jalan Kota dan Kuala Terengganu bersama 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 11.53 malam manakala api dipadam sepenuhnya 25 minit kemudian.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 8:31 AM