ANGGOTA bomba memadam kebakaran kedai motosikal di Wangsa Maju. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran kedai motosikal di Wangsa Maju. FOTO Ihsan Bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 19 individu yang terperangkap dalam bangunan selepas kedai motosikal terbakar di Jalan Megan Setapak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam semalam, semua mereka terperangkap di tingkat atas bangunan empat tingkat berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 11.17 malam dan 42 anggota bersama 12 jentera dikejar ke lokasi.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Wangsa Maju, BBP Keramat, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Seputeh.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah bengkel motosikal di tingkat bawah bangunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, api marak sehingga ke tingkat satu dan pasukan segera memindahkan 19 mangsa terdiri daripada lapan lelaki dan 11 wanita.

Katanya lagi, lima motosikal dan alat ganti musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu.

"Api berjaya dikawal pada 11.41 malam sebelum padam sepenuhnya. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 9:27 AM