ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bambangan, Jalan Lumantak. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam api dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bambangan, Jalan Lumantak. FOTO ihsan bomba
Junaidi Ladjana


SEORANG lelaki melecur di muka dan bahu kanan ketika cuba menyelamatkan diri selepas rumahnya di Kampung Bambangan, Jalan Lumantak, Membakut, Beaufort, musnah terbakar, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, Hafimi Misran, 20-an, sempat keluar dari rumah bersama ahli keluarganya sebaik menyedari kediaman mereka terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran membabitkan rumah dua tingkat, pada jam 11.41 malam.

Katanya, seramai sembilan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera diketuai Penolong Kanan Bomba II, Hazizul Abdul Mujun dikerah ke lokasi bagi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat yang musnah sepenuhnya.

“Terdapat seorang lelaki melecur di muka dan bahu kanan. Mangsa dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasbullah berkata, api dapat kawal jam 12.37 tengah malam dan tamat sepenuhnya sejam kemudian.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.

Caption:

1. Anggota bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Bambangan, Jalan Lumantak, Membakut, Beaufort.

2. Rumah dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Bambangan, Jalan Lumantak, Membakut, Beaufort.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 11:58 AM