ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah peneroka di Felda Kerteh Satu, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran sebuah rumah peneroka di Felda Kerteh Satu, Dungun, malam tadi. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


SEBUAH rumah milik seorang peneroka musnah dalam kebakaran di Felda Kerteh Satu, Dungun, malam tadi.

Dalam kejadian 10.15 malam itu, kepantasan anggota bomba berjaya menyelamatkan dua rumah bersebelahan daripada turut terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paka, Mohd Rezuan Adnan, berkata ketika kejadian, pemilik rumah terbabit berada di rumah anaknya di Pulau Pinang.

Beliau berkata, jiran mangsa sebelum itu terdengar bunyi beberapa letupan sebelum mendapati rumah mangsa terbakar lalu bertindak menghubungi bomba.

“Sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada orang ramai.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, api marak hampir merebak ke rumah bersebelahan dan kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Rezuan berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.18 tengah malam.

Beliau berkata, kebakaran itu menyebabkan semua barangan di dalam rumah itu gagal diselamatkan.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat punca kebakaran serta jumlah kerugian dialami mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 January 2020 @ 12:22 PM