Azharuddin (tengah), Isma Aliff (kiri) dan Fakhrul Shahiran (kanan) yang menjadi lukisan karikatur sebagai sumber pendapatan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Azharuddin (tengah), Isma Aliff (kiri) dan Fakhrul Shahiran (kanan) yang menjadi lukisan karikatur sebagai sumber pendapatan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi


LELAKI ini mampu menjana pendapatan antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan sejak dia mula menawarkan khidmat melukis karikatur pada tahun 2007.

Dengan hanya bermodalkan kertas lukisan dan peralatan melukis seperti pen penanda (marker pen), dakwat serta papan melukis, seorang pelukis karikatur mampu meraih pendapatan lumayan.

Jadi tidak hairanlah mengapa Azharuddin Abdullah, 35, sanggup berhenti kerja di sebuah syarikat animasi untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerjaya barunya sebagai pelukis karikatur.

Azharuddin berkata, bagaimanapun pendapatan itu tidak menentu kerana bergantung kepada permintaan.

Katanya, karikatur hanyalah proses lakaran wajah, tetapi bagi yang tidak mempunyai kemahiran atau bakat semula jadi, pasti akan mengambil masa yang lama atau mungkin tidak menjadi langsung.

“Saya minat bidang seni lukisan sejak dari bangku sekolah dan daripada situ saya berusaha untuk menjadikan seni sebagai pendapatan tetap.

“Bagi benar-benar mahir dalam lukisan karikatur ini, saya berhijrah hampir ke seluruh negara selama empat tahun untuk berguru dengan mereka yang lebih senior termasuklah bekas pelukis komik Gila-Gila Nordin Yusoff,” katanya ketika ditemui di Temasya Kesenian dan Kebudayaan Kelantan 2019, di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Kota Bharu, hari ini.

Dia yang juga dikenali sebagai Azharuddin Oden turut mengambil tempahan melukis karikatur secara atas talian daripada pelanggan dari luar Kelantan.

“Kebiasaannya bagi satu wajah lukisan karikatur masa yang diambil untuk menyiapkannya adalah selama lima minit dan bagi lukisan yang agak rumit boleh mengambil masa sehingga dua jam.

“Bayaran untuk sekeping lukisan karikatur dikenakan serendah RM15 hingga RM150 bergantung kepada karikatur berkenaan,” katanya yang sebelum ini bekerja di syarikat animasi di Pengkalan Chepa.

Katanya, kebolehan yang dimilikinya itu turut dikongsi bersama dua rakan iaitu Isma Aliff Ahmad, 27, dan Fakhrul Shahiran Rosadura, 26.

“Ini adalah cabang rezeki yang mudah dengan memanfaatkan bakat yang dikurniakan oleh Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 6:15 PM