Mohd Syafiq bersama antara lukisan karikaturnya di MITC. FOTO Nazri Abu Bakar
Mohd Syafiq bersama antara lukisan karikaturnya di MITC. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


BAKAT luar biasa Mohd Syafiq Nazhmi, 12, membolehkannya memperolehi pendapatan lumayan sebagai pelukis karikatur jalanan.

Pada usia semuda itu, dia sudah pandai berdikari dengan memanfaatkan kemahiran melukis untuk menerima tempahan bagi melakar karikatur wajah mengikut permintaan pelanggan di sekitar Melaka.

Berbekalkan pensil, kertas lukisan serta beralaskan meja dan bangku plastik, Mohd Syafiq memulakan sesi melakar karikatur di kawasan kedai makan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh bermula jam 10 pagi hingga jam 3 petang pada hujung minggu dan cuti umum.

“Saya juga ada melukis karikatur di kawasan berhampiran kedai makan popular di Durian Daun antara jam 3.30 petang hingga 6.30 petang selepas selesai melukis di MITC.

“Setiap karikatur dijual pada harga RM10 dan ia ambil masa kira-kira 30 minit untuk disiapkan.

“Alhamdulillah sambutan setakat ini menggalakkan,” katanya ketika ditemui di MITC hari ini.

Mohd Syafiq berkata, minat melukis banyak dibantu bapanya, Nazhmi Mohd Faizal selain dibimbing guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rambai dalam menghasilkan karya menarik.

Antara ‘karya’ karikatur yang pernah dihasilkannya termasuk wajah pelakon seperti Zizan Razak, Sofi Jikan dan Fattah Amin selain turut mengabadikan karikatur bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Sementara itu, Nazhmi berkata, bakat ‘luar biasa’ Mohd Syafiq yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu mula dikesan sejak di sekolah tadika.

Namun dia tidak menyangka kemahiran dimiliki Mohd Syafiq setanding dengan hasil karya golongan dewasa sekali gus menggalakkan kesungguhan anaknya mengetengahkan bakat dimiliki di lokasi terbuka seperti di MITC dan Durian Daun.

“Hasil pendapatan Mohd Syafiq digunakan untuk membeli peralatan persekolahannya selain simpanan untuk masa depan,” katanya.

Sepanjang cuti sekolah lalu Mohd Syafiq memperolehi pendapatan kira-kira RM1,000 manakala pada hujung minggu antara RM80 ke RM100 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 2:25 PM