Pasukan CBRN 12 Skuadron RAJD Kem Terendak akan ditempatkan di lokasi operasi pembersihan bahan kimia di Pasir Gudang selesai. FOTO Ihsan ATM
Pasukan CBRN 12 Skuadron RAJD Kem Terendak akan ditempatkan di lokasi operasi pembersihan bahan kimia di Pasir Gudang selesai. FOTO Ihsan ATM
Mohd Azam Shah Yaacob


PASUKAN daripada Unit Peninjau Kimia, Biologi, Radiologi dan Nuklear (CBRN) 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Terendak, Melaka yang dikerahkan ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang akan ditempatkan sehingga kawasan berkenaan bebas ancaman kimia beracun.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, pasukan itu bukan setakat membantu operasi pembersihan sungai serta lokasi terbabit yang tercemar dengan bahan kimia, malah sehingga ia selamat untuk diduduki.

"Pasukan itu akan ditempatkan di lokasi berkenaan sehingga operasi pembersihan bahan kimia di situ selesai.

"Ia termasuklah bagi memantau keadaan di sana sehingga ia bebas daripada unsur berbahaya dan selamat untuk diduduki semula oleh penduduk di sana," katanya selepas menghadiri Program Pra-Pelancaran Bacaan Yaasin4Aqsa di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, hari ini.

Hadir sama Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abd Hamid.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Yaasin4Aqsa, beliau berkata, ia adalah sebagai tanda sokongan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis.

"Sokongan diberikan bukan dalam bentuk bantuan ketenteraan sebaliknya sokongan kerohanian berikutan perjuangan membebaskan Palestin adalah perjuangan umat Islam," katanya.

Program Pra Pelancaran Yaasin4Aqsa adalah kerjasama antara MAPIM bersama ATM menerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Dalam program itu turut dilancarkan Tabung Infaq Al-Aqsa bagi mengutip sumbangan daripada rakyat Malaysia yang akan diserahkan kepada Palestin.

Program itu akan dilancarkan secara rasmi di peringkat kebangsaan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 April nanti sempena Sambutan Israk Mikraj.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 10:23 PM