LOKASI kejadian lelaki maut dipanah petir. FOTO ihsan pembaca
LOKASI kejadian lelaki maut dipanah petir. FOTO ihsan pembaca
Iskandar Shah Mohamed


“SEJURUS bunyi dentuman kuat kilat itu, saya mendapati empat lelaki berkenaan termasuk mangsa sudah cedera terbaring di tengah padang,” kata saksi kejadian, Zainizam Zambri, 38.

Dalam kejadian 5.05 petang itu, seorang lelaki warga Myanmar maut manakala tiga rakan senegaranya cedera akibat dipanah petir di padang bola sepak Akademi Badminton Setia Alam, di sini.

Difahamkan, mangsa yang berusia 18 tahun sedang menggunakan telefon bimbit ketika berkumpul di tengah padang itu selepas perlawanan persahabatan antara dua pasukan ditamatkan berikutan cuaca buruk.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang daripada mereka parah dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Zainizam yang juga penganjur dan pengadil perlawanan itu berkata, perlawanan persahabatan antara pasukan tempatan, Super Nova FC dan Rohingnya Klang Football Club (RKFC) bermula pada 4 petang.

“Melihat keadaan petir sabung menyabung, kami kemudian mengarahkan perlawanan itu dihentikan pada 4.40 petang dan meminta semua pemain supaya keluar dari kawasan padang.

“Bagaimanapun, mangsa yang juga penyokong RKFC bersama tujuh rakan senegara pergi ke tengah padang itu sebelum terkena panahan petir berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan empat lelaki asing itu tercampak manakala mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Rakan pengadil dan pemain lain kemudian mengangkat semua mangsa ke tepi padang berdekatan dewan badminton.

“Kami kemudian memberikan bantuan pernafasan kepada seorang mangsa yang parah dan menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kata Zainizam, mangsa yang maut didapati melecur di kaki manakala baju dan seluar dipakainya terbakar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara,Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, mengesahkan kejadian dan berkata siasatan sedang dijalankan pihaknya.

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat manakala seorang yang parah masih koma do hospital sama,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Maut disambar petir
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 8:37 PM