ORANG ramai mengusung Ruan yang disambar petir. FOTO Agensi
ORANG ramai mengusung Ruan yang disambar petir. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Bakal pengantin lelaki maut dipanah petir ketika sesi penggambaran bersama tunangnya di tempat pelancongan popular di Spruce Meadow, Gunung Salji Naga Jed China, wilayah Yunnan, pada Rabu.

The Sun melaporkan kejadian menyebabkan mangsa dikenali sebagai Ruan - seperti dilaporkan media tempatan - mengalami kecederaan parah sebelum dihantar ke hospital.

Mangsa dikejarkan ke hospital di mana dia disahkan meninggal dunia, lapor South China Morning Post.

Kira-kira setengah jam sebelum kilat menyambar, pihak berkuasa cuaca tempatan sebenarnya sudah mengeluarkan amaran tahap ketiga tertinggi di bawah sistem amaran empat peringkat China.

Namun walaupun ribut petir, pasangan itu memutuskan untuk meneruskan sesi penggambaran mereka yang dirancang.

Dalam kejadian itu, mujur mereka yang berdiri berhampiran dengan mangsa maut berkenaan, tidak mengalami kecederaan.

Gambar menunjukkan kru penyelamat membawa lelaki itu di atas pengusung dalam hujan lebat.

Ia berlaku beberapa hari selepas seorang ibu warga United Kingdom bertarung nyawa selepas dipanah petir di hadapan anak perempuannya di sebuah pantai di Croatia.

Wanita berusia 48 tahun itu berada dalam keadaan kritikal selepas disambar petir ketika dia berjemur bersama anak perempuannya di sebuah pantai berhampiran bandar Split di selatan negara itu.

Pada Jun lalu pula, seorang wanita dan dua anjingnya terbunuh kerana disambar petir di California Selatan.

Ketika kejadian kira-kira 9 pagi itu, wanita itu berjalan bersama anjingnya di laluan basikal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 11:59 AM