PATI yang ditahan PPM Tawau disyaki menjalankan aktiviti mengeluar hasil hutan tanpa permit di kawasan Sungai Merotai, Tawau. FOTO Ihsan PPM
PATI yang ditahan PPM Tawau disyaki menjalankan aktiviti mengeluar hasil hutan tanpa permit di kawasan Sungai Merotai, Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana disyaki mengeluarkan hasil hutan tanpa permit di kawasan Sungai Merotai dekat Tawau, kelmarin.

Semua suspek berumur 15 hingga 40 tahun itu ditahan ketika cuba mengeluarkan kayu bakau menggunakan bot pada 5.40 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan mendapati bot tanpa nombor pendaftaran itu sarat muatan kira-kira 100 batang kayu bakau, disyaki dicuri dari kawasan sungai berhampiran.

“Siasatan lanjut mendapati mereka tidak memiliki permit daripada Jabatan Perhutanan untuk mengeluarkan kayu bakau berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Tawau, semalam.

Dalam kes berasingan, Mohamad Pajeri berkata, pihaknya menahan suami isteri warga tempatan selepas didapati membawa keluar 27 batang kayu bakau tanpa permit di lokasi sama pada 3.40 petang.

“Secara keseluruhan dalam dua tangkapan itu, PPM merampas dua bot bersama enjin sangkut dan satu unit pemotong kayu dan 127 batang kayu bakau dengan nilai rampasan dianggarkan RM12,555.

“Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (1) (g) Enekmen Perhutanan 1963 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:20 AM