ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan melalui kawasan perairan Sungai Haji Kuning, Tawau. FOTO Ihsan PPM
ANGGOTA Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar barang kawalan melalui kawasan perairan Sungai Haji Kuning, Tawau. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan membawa keluar pelbagai barang kawalan dalam Op Gelora Khas di kawasan perairan Sungai Haji Kuning dekat Tawau, semalam.

Ia susulan penahanan seorang juragan tempatan berumur 32 tahun menggunakan bot laju yang dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan anggota PPM, pada 5.30 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, pemeriksaan mendapati suspek membawa pelbagai barangan kawalan tanpa memiliki dokumen atau surat kebenaran serta permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Beliau berkata, barangan kawalan itu dipercayai cuba dibawa keluar dari Tawau untuk dipasarkan ke Indonesia

“Antara barangan dirampas termasuk 68 kilogram (kg) minyak masak dan tiga unit tong gas cecair petroleum (LPG) 14kg jenama Petronas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, turut dirampas bot laju digunakan suspek bersama seunit enjin sangkut jenis Yamaha 40 kuasa kuda (hp) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM16,606.40.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 9:34 AM