Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


PENGANGGUR mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memukul kepala adiknya menggunakan pinggan kaca.

Tertuduh, Ahmad Kamal Mohamad, 27, dari Seberang Takir, Kuala Nerus membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa, Norfatihah, 26, menggunakan pinggan kaca di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus, jam 8 malam 25 Februari lalu.

Bagi kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK itu, tertuduh boleh dipenjara bagi suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan kerana kes itu dikategorikan antara kes berat selain membabitkan keselamatan mangsa dan keluarga.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro melaporkan seorang wanita menerima enam jahitan di kepala selepas dipukul abangnya menggunakan pinggan kaca dalam kejadian di sebuah rumah di Seberang Takir, Kuala Nerus.

Kejadian berlaku 8 malam ketika mangsa berbual dengan ibu mereka di ruang tamu sebelum dihampiri abangnya yang menyuruh mereka diam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 3:13 PM