GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


SEORANG wanita yang juga peniaga air soya kerugian hampir setengah juta ringgit selepas dia menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam kononnya terbabit dalam kes jenayah yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati.

Selain itu, mangsa berusia 53 tahun turut tertipu apabila sindiket terbabit mendakwa dia mempunyai dua kes tunggakan dengan sebuah bank membuatkannya bimbang dikenakan tindakan.

Berikutan terlalu takut, mangsa yang tidak berfikir panjang mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya serta wang hasil jualan perniagaan untuk membayar kepada sindiket yang konon boleh 'membersihkan' namanya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, mangsa mengeluarkan duit simpanan ASB dan hasil perniagaannya untuk diberikan kepada sindiket terbabit.

“Mangsa pada mulanya menerima panggilan Disember tahun lalu daripada seorang 'sarjan' yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Panggilan itu disambungkan kepada seorang pegawai bernama Lee Ahh Jun yang kemudian mendakwa mangsa mempunyai dua kes tunggakan bank selain turut terbabit dalam kes jenayah yang boleh dikenakan hukuman mati," katanya.

Anbalagan berkata, mangsa yang takut kemudian membuat tujuh transaksi pada 31 Januari lalu berjumlah RM476,000.

Beliau berkata, mangsa kemudian menyedari dia ditipu dan membuat satu laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kami ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan sindiket Macau Scam ini dan perlu membuat semakan terlebih dahulu sekiranya menerima panggilan daripada individu tidak dikenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 1:05 AM