GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Kota Marudu: Doktor kerugian RM63,950 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Wanita berusia 31 tahun bertugas di sebuah hospital mendakwa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN pada 1.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, suspek mendakwa nama serta MyKad mangsa digunakan oleh sebuah syarikat dan mempunyai cukai tertunggak selama 15 bulan berjumlah RM228,000.

Katanya, panggilan kemudian disambung kononnya kepada 'Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka' dan suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

"Mangsa dikehendaki untuk memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada dia terbabit dalam pengubahan wang haram.

"Akibat itu, mangsa kemudian memberikan butiran beberapa akaun bank miliknya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, pada 5.30 petang hari sama, mangsa mengesyaki dirinya tertipu dengan sindiket Macau Scam lalu membuat semakan akaun bank miliknya.

"Wanita itu mendapati wangnya sebanyak RM63,950 dalam akaun banknya hilang lalu membuat laporan polis, semalam apabila menyedari tertipu," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:43 PM