GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


Bayan Lepas: Wang simpanan sebanyak RM 20,168,60 milik seorang doktor swasta di Persiaran Bayan Indah, di sini, lesap selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Doktor berusia 27 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kelantan pada 24 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Barat DayaSuperitendan A A Anbalagan berkata, suspek yang memperkenalkan diri sebagai 'Datuk Ridzuan' mengatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai perniagaan selama 18 bulan.

Katanya, mangsa kemudian menafikannya sebelum panggilan disambung kononnya kepada 'Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan' dan suspek mendakwa mangsa pernah terbabit dengan kes penyeludupan dadah serta penggubahan wang haram.

"Suspek memberitahu bahawa pendakwa raya akan hubungi mangsa bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan dan meminta doktor terbabit bekerjasama dengan suspek.

"Dalam tempoh sejam selepas panggilan, mangsa menerima sebanyak 12 Kod Pengesahan Transaksi (TAC) daripada bank dan perlu dihantar kepada suspek bagi tujuan menyelesaikan kes itu," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut Anbalagan berkata, mangsa kemudian pergi ke bank semalam bagi menyemak penyata dan terkejut apabila mendapati wang miliknya sebanyak RM20,168,60 'hilang'.

Mengesyaki dirinya sudah ditipu suspek, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Masyarakat diingatkan supaya sentiasa berwaspada dgn panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali dan jangan beri sebarang maklumat peribadi atau bank.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

habis

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2020 @ 10:43 AM