Foto hiasan
Foto hiasan
Mohamed Farid Noh

BADAN Kawalselia Air Johor (BAKAJ) dan Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) dijangka akan memulakan pembenihan awan pada awal Februari ini bagi mengatasi masalah kurang taburan hujan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata, musim panas berpanjangan sejak awal bulan ini dijangka menjejaskan paras empangan di negeri itu.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia juga sudah mengeluarkan ramalan seluruh Johor hanya akan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 150 milimeter (mm) sehingga 400 mm dan ia dijangka akan berterusan sehingga Mac.

“Setakat hari ini, keadaan paras air di 16 empangan dan kawasan tadahan air seluruh Johor adalah memuaskan dan kebanyakannya berada di atas paras amaran.

“Tiga empangan yang sebelum ini sering berada di paras amaran atau kritikal iaitu Empangan Lebam, Empangan Congok dan Empangan Machap juga berada dalam keadaan baik dan memuaskan.

“Bagaimanapun, dengan situasi kurangnya hujan dan perubahan cuaca ke musim panas yang sudah bermula dengan permintaan yang tinggi berikutan limpahan pembangunan serta penambahan penduduk, pemantauan secara terperinci terhadap paras muka sauk empangan dan sungai akan terus dilakukan dalam tempoh dua minggu ini oleh kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan.

“Langkah pembenihan awan dilakukan bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan bagi meminimakan gangguan bekalan air terutamanya pada musim perayaan Tahun Baru Cina yang bakal menjelang tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan di Johor Bahru hari ini.

Jimmy berkata, pengguna disarankan lebih berhemah menggunakan air dan elakkan penggunaan yang berlebihan supaya tidak berlaku pembaziran dan bekalan air terawat sentiasa terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 3:03 PM